Sembahyang Yang Ditolak



Buku ini merupakan satu usaha untuk memperbetulkan konsep ibadah sembahyang kerana fenomena menunjukkan bahawa ibadah ini telah disalah tanggap sebagai ibadah untuk ketuhanan semata-mata. Walhal sudah banyak kali ibadah ini disebut-sebut sebagai tiang agama, mencegah perbuatan keji dan mungkar, dan sebagainya tetapi tidak menjadi realiti. Slogan-slogan tersebut tidak menjadi kenyataan, tidak dapat dilihat dalam kehidupan seharian.
Ibadah ini masih kekal sebagai ibadah ketuhanan, ibadah untuk mengumpul pahala semata-mata. Pendek kata ibadah ini dilihat seolah-olah tiada kaitannya dengan kehidupan seharian. Fenomena ini menunjukkan bahawa matlamat (maqasid) ibadah sembahyang itu tidak tercapai. Inilah yang cuba diperbetul.
Yang pertama sekali ialah memperbetul tanggapan kita terhadap ibadah sembahyang. Jadi buku ini ingin mengajak para pembaca melihat ibadah sembahyang sebagai satu proses pendidikan yang objektifnya ialah ke arah menegakkan Islam, pembentukan etika dan keperibadian, mencegah perbuatan keji dan mungkar, dan membentuk sikap membawa rahmat Allah.

Pengenalan:
Bab pengenalannya menyebut bahawa sembahyang kita ada matlamat dan tujuannya (maqasid). Jadi adalah tidak memadai jika ibadah ini ditunaikan setakat mendirikan zatnya sahaja. Kerana hakikatnya, ibadah sembahyang kita adalah sebagai satu proses pendidikan. Ianya tidaklah cukup jika didirikan zatnya sahaja kerana cara ini tidak dapat mencapai matlamatnya.
Mendirikan zatnya sahaja dikatakan sembahyang zahir; jika hendak mencapai matlamatnya harus ada pula konsep sembahyang yang batin. Sembahyang yang batin itulah yang menjamin tercapainya matlamat dan tujuan sembahyang. Inilah ibadah sembahyang yang sempurna dan yang dikehendak Allah swt, iaitu yang menjurus kepada tercapainya maksud sembahyang sebagai tiang agama, sebagai rukun Islam (dalam konteks Islam sebagai cara hidup atau way of life), dan sebagainya.
Apakah tanggapan kita terhadap ayat 45 surah al-Ankabut? Ayat ini menunjukkan bahawa tujuan ibadah sembahyang ialah mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Bagaimanakah caranya kita hendak membuktikan kebenaran ayat ini; apakah bukti sahihnya, yang dapat dilihat dalam kehidupan seharian? Bolehkah kita mencegah kemungkaran hanya dengan mendirikan zat sembahyang sahaja dan bertawakal agar dijauhi dari segala kemungkaran!
Kemungkaran tidak terdapat dalam zat sembahyang – ketika mendirikan sembahyang, tidak ada kemungkaran yang terjadi, tetapi kemungkaran-kemungkaran terdapat dalam kehidupan seharian kita. Contohnya, mengganggu lalu lintas adalah satu kemungkaran, membuat bising di khalayak ramai adalah satu kemungkaran kerana memang jelas tidak disukai oleh semua orang tidak kira apa agamanya atau bangsanya. Inilah antara kemungkaran-kemungkaran yang terjadi dalam lingkungan kehidupan seharian kita yang hendak dicegah. Apakah perkaitannya dengan ibadah sembahyang. Inilah antara mesej yang dibawa oleh buku ini.
Buku ini menggunakan satu kaedah yang unik untuk mengaitkan kemungkaran-kemungkaran seperti tersebut itu tadi. Kaedahnya ialah dengan menggunakan qias, iaitu salah satu sumber syariah. Sumber syariah kita ialah nas iaitu ayat-ayat al-Quran dan Hadis Nabi saw. Jika tidak ada nas yang jelas bagi memutuskan sesuatu hukum kita dibenarkan menggunakan keputusan ijma’, dan jika tiada juga kita dibenarkan menggunakan qias; dan jika tiada juga kita boleh menggunakan kaedah ijtima’. Namun mengikut disiplinnya kita harus bermula dari nas sebelum menggunakan yang lain-lain mengikut urutannya. Tetapi fenomena menunjukkan bahawa kaedah qias ini seperti sudah dilupakan. Inilah yang menyebabkan banyak perkara-perkara baru itu seperti tidak ada hukumnya. Contohnya seperti di atas tadi. Ini juga adalah antara perkara yang hendak diperbetul oleh buku ini.

Hakikat ibadah sembahyang
Untuk menerima kenyataan bahawa ada sembahyang yang ditolak kita harus tahu tentang hakikat ibadah sembahyang kita.
Mengikut istilah, sembahyang ialah perbuatan-perbuatan dan perkataan yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam. Perbuatan-perbuatan dan perkataan yang dimaksudkan itu telah ditetapkan, yang tersimpul dalam satu istilah yang dinamakan rukun-rukun sembahyang.
Ada lima bacaan yang ditetapkan iaitu untuk takbiratul ihram, membaca Fatihah, tasyhud akhir, selawat kepada Nabi, dan salam yang pertama; dan enam perbuatan iaitu berdiri, rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, dan duduk tahyat akhir. Namun sembah-yang kita mesti dimulakan dengan niat mendirikan sembahyang.
Yang dalam bentuk perbuatan dinamakan rukun feeli, yang bacaan dinamakan rukun qauli, manakala niat dinamakan rukun qalbi, menjadikan jumlahnya dua belas, dan perlaksanaannya mesti mengikut tertib; jadi keseluruhan sembahyang kita mesti menyempurnakan kesemua tiga belas perkara yang berikut, kecuali sembahyang sunat (tidak wajib berdiri):
1.       Niat, iaitu mengqasadkan sesuatu perbuatan,
2.      Berdiri, bagi orang yang berkuasa,
3.      Takbiratul-ihram,
4.      Membaca surah al-Fatihah,
5.      Rukuk yang sempurna tumakninahnya,
6.      Iktidal yang sempurna tumakninahnya,
7.      Sujud (dua kali) yang sempurna tumakninahnya,
8.      Duduk antara dua sujud yang sempurna tumakninahnya,
9.      Duduk tahiyat akhir,
10.   Membaca tasyahud,
11.    Membaca selawat atas Nabi Muhammad s.a.w.
12.   Memberi salam,
13.   Tertib, iaitu dilakukan dua belas perkara di atas bermula dengan 1 dan berakhir dengan yang ke-12.
Bagi rukun-rukun yang qauli bacaannya ditetapkan, dan tidak boleh ditukar dengan bacaan lain, misalnya membaca surah al-Fatihah ketika berdiri, membaca tasyhud akhir dan berselawat adalah wajib. Kita mesti membaca ayat-ayat yang telah ditetapkan itu sahaja. Tetapi bacaan-bacaan bagi rukun-rukun feeli seperti rukuk, sujud, duduk antara dua sujud adalah sunat sahaja. Ianya boleh ditingglkan.
Seseorang yang telah menyempurnakan kesemua dua belas rukun itu dengan tertibnya dan cukup syarat-syaratnya dikatakan telah menunaikan sembahyang, sembahyangnya sah, dan tertegaklah zat sembahyang. Inilah takrif sembahyang pada asalnya. Namun, adakah ini konsep ibadah sembahyang yang dikehendaki Allah swt.

Sembahyang yang batin
Kita telah bincangkan bahawa rukun sembahyang kita ada tiga belas perkara yang terdiri daripada rukun qalbi, rukun qauli dan rukun feeli; seseorang yang telah menunaikan kesemua rukun itu dikatakan telah mendirikan sembahyang. Namun seperti yang telah kita persoalkan sebelum ini iaitu adakah sembahyang yang sedemikian sahaja sudah sempurna dan diterima Allah!
Mengikut kitab Siras-Salikin, orang yang tidak khusyuk dalam sembahyangnya dikatakan sebagai tidak ada sembahyang yang batin, dan sembahyangnya ditolak kerana hanya pada zahirnya dia telah mendirikan sembahyang tetapi batinnya tidak turut serta, dengan ertikata lain orang ini tidak khusyuk. Mengikut kitab ini sembahyang yang diterima adalah yang disempurnakan kedua-duanya iaitu sembahyang zahir dan sembahyang yang batin.
‘Bahawasanya sembahyang itu ada baginya zahir iaitu mengerjakan segala rukun sembahyang dan segala sunatnya, dan ada baginya pula batin yang mengesahkan bagi amal zahir itu’. (Siras-Salikin 1, 66)
Sembahyang yang batin disebut dalam Kitab Siras-Salikin ialah amal yang di dalam hati, yang bermaksud yang mengesahkan bagi amal zahir itu. Kitab ini kemudiannya membincangkan dengan panjang lebar yang kesimpulannya ialah bahawa yang dimaksudkan ialah khusyuk – mengikut kitab ini khusyuk diberi takrif yakni menghinakan diri serta tetap anggota dan khudhur al-Qalb, yakni ingat hati akan perbuatan sembahyang dan hadir hati kepada Allah sekira-kira kosong hatinya itu pada ketika sembahyang. Apakah yang dimaksudkan hadir hati atau ingat hati itu!
Kitab ini menurunkan beberapa petikan bagi menjelaskan maksud tersebut, misalnya yang disebut oleh Imam al-Ghazali, wajib atas seorang yang sembahyang itu ingat hatinya di dalam sembahyang itu akan Allah Taala, maka barangsiapa sembahyang pada hal hatinya lupa akan Allah maka iaitu tiada dinamakan mendirikan sembahyang; dan ingat hati yang disebut dalam petikan di atas ini bermaksud seolah-olah melihat akan Allah (Siras-Salikin 1, 67). Apakah maksud petikan ini dan apakah hujahnya? Buku ini ada penjelasannya. Penjelasan-penjelasannya disokong pula dengan hadis-hadis dan ayat-ayat al-Quran, dan paling tidak adalah petikan-petikan dari kitab-kitab yang muktabar. Pendek kata hakikat ibadah sembahyang kita sangat luas.
Buku ini menjelaskan juga tentang konsep kesempurnaan sembahyang. Dan konsep yang dibentangkan adalah melepasi konsep kesempurnaan yang sering kita dengar. Kerana buku ini menggunakan kaedah analisis. Analisisnya menyoroti daerah-daerah yang konsepnya ialah setiap hukum syariat ada tujuan dan alasannya. Inilah kaedah yang digunakan oleh buku ini bagi memberikan kefahaman yang lebih jelas dan logik tentang sembahyang itu tiang agama, sembahyang itu mencegah perbuatan keji dan mungkar dan sebagainya.

Mengapa sembahyang ditolak walaupun sah?
Antara sebab-sebabnya ialah seperti yang disebut oleh sebuah hadis yang maksudnya, ‘Tiga orang yang sembahyangnya tidak sampai melampaui telinganya, iaitu seorang budak yang melarikan diri sampai dia pulang kembali, seorang isteri yang semalaman suaminya murka kepadanya, dan seorang imam yang mengimami suatu kaum sedangkan kaum itu tidak menyukainya’. (HR Tarmizi dan Ahmad)
Frasa kata tidak sampai melepasi telinganya bermaksud tidak diangkat ke langit, atau dengan kata lain sembahyangnya tidak diterima.
Sebuah hadis lain menyebut, maksudnya, ‘Tidak ada sembahyang bagi tetangga masjid, selain dalam masjid’ (HR Adarqathani), yang maksudnya, orang yang tinggal berjiran dengan masjid tetapi mendirikan sembahyang di rumahnya, inilah antara golongan orang yang sembahyangnya ditolak. Ini disebut sebagai sama dengan orang yang tidak menunaikan sembahyang.

Dari beberapa contoh di atas ini menunjukkan bahawa memang jelas ada sembahyang yang ditolak walaupun sah. Mengapa ditolak!
Antara jawapannya ialah kerana sembahyangnya tidak mendidik diri pengamalnya. Misalnya, sembahyangnya tidak menegakkan Islam (dalam konteknya bahawa Islam adalah cara hidup). Antara lain lagi ialah sembahyangnya tidak mendidiknya menjauhi kemungkaran seperti yang disebut dalam ayat 45 surah al-Ankabut yang menyebut, Dirikanlah sembahyang. Sesungguhnya sembahyang mencegah (perbuatan) keji dan mungkar. Bagi seorang isteri pula sembahyangnya tidak mendidiknya menjadi seorang yang taatkan suami, dan lain-lain lagi. Saya sebutkan semula petikan-petikan ini kerana kelihatannya sebab-sebab ditolaknya sembahyang golongan-golongan itu adalah berkaitan fungsi sembahyang:
·             Sembahyang tetapi lari dari tanggungjawab seperti yang dilakukan oleh budah lelaki itu,
·             Sembahyang tetapi tidak mendidik si isteri itu menjadi seorang isteri yang taatkan suaminya,
·             Sembahyang tetapi tidak mendidik dirinya menjadi seorang pemimpin yang disukai ramai.
Kesimpulannya, yang boleh dibuat dari contoh di atas itu ialah bahawa mereka itu adalah dari golongan orang-orang yang sembahyang tetapi sembahyangnya tidak menegakkan Islam sebagai way of life seperti yang telah kita bincangkan sebelum ini. 
Banyak lagi sebab-sebab sembahyang kita ditolak.
Antaranya ialah seperti yang tersebut dalam satu ceramah yang pernah saya dengar, iaitu disebutkan bahawa Nabi saw pernah bersabda mengenai 10 orang golongan orang yang sembahyangnya tidak diterima oleh Allah swt iaitu:
1.   Orang lelaki yang sembahyang sendirian tanpa membaca sesuatu,
2.   Orang lelaki yang mengerjakan sembahyang tetapi tidak menunaikan zakat.
3.   Orang lelaki yang menjadi imam, tetapi makmum tidak menyukainya.
4.   Orang lelaki yang melarikan diri.
5.   Orang lelaki yang minum arak tanpa hasrat untuk bertaubat.
6.   Orang perempuan yang suaminya marah kepadanya.
7.   Orang perempuan yang mengerjakan sembahyang tanpa memakai tudung.
8.   Imam atau pemimpin yang sombong dan zalim.
9.   Orang yang suka makan riba’.
10.  Orang yang sembahyangnya tidak dapat menghindarkan dirinya dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar.
Jadi buku ini merumuskan sebab-sebab sembahyang ditolak di bawah bab-bab berikut:
1. Tidak menegakkan Islam (Islam sebagai way of life
2. Tidak menegakkan hablum minallah
3. Tidak membina akhlak dan keperibadian
4. Tidak mencegah kemungkaran
5. Tidak membawa rahmat

Islam adalah ad-Deen
Perkataan Deen disebut oleh ayat 85 surah al-Imran. Ayat ini menunjukkan bahawa Islam itu agama, dan agama itu adalah deen. Apakah pula maksud deen itu. ad-Deen, frasa kata yang walaupun ringkas tetapi jika kita renung dalam-dalam sebenarnya skopnya sangat luas, kerana kehidupan ini merupakan satu sistem yang mencakupi semua lapangan hidup, baik hidup di dunia mahu-pun di akhirat. Di dalamnya mengandungi peraturan dan undang-undang yang menjadi panduan bagaimana caranya manusia hendak bergerak dan bertindak, berkeluarga dan bermasyarakat; menentukan juga apa yang boleh dan tidak boleh kita lakukan.
Ruang lingkupnya berteraskan kepada prinsip-prinsip dan hukum-hakam, bermula dari pegangan dan keyakinan hidup terhadap Allah swt sehingga kepada amal ibadat serta amalan sehariannya yang meliputi bidang politik, ekonomi, sosial, kemasyarakatan, muamalat, pendidikan dan sebagainya, pendek kata sistem hidup ini membentuk satu sistem yang syumul, universal dan komprehensif.
Jalan hidup manusia disebut sebagai syariat. Ringkasnya syariat ialah segala apa yang diwahyukan oleh Allah swt kepada para Nabi sehinggalah Nabi Muhammad saw, yang kesemuanya telah dihimpun ke dalam satu buku yang kita sebut al-Quran itu. Sinopsisnya ialah surah al-Fatihah itu, yang disebut umul-kitab.
Di dalamnya mengandungi tiga persoalan seperti yang disebut dalam surah al-Fatihah itu: pertama persoalan tentang keesaan, kebesaran dan kekuasaan Tuhan, ini disebut oleh ayat 1 – 4; kedua persoalan tentang hanya Allah yang berhak disembah dan tempat memohon pertolongan (ayat 5), jadi apa jua yang kita kehendaki dan harapkan harus kita kemukakan kepada Yang Maha Pencipta; dan ketiga persoalan tentang jalan yang lurus dan jalan yang dimurkai dan sesat (ayat 6 dan 7). Jadi keseluruhan kandungan al-Quran itu adalah keterangan-keterangan lanjut tentang tujuh ayat itu.
Jadi keseluruhan kandungan al-Quran itu adalah perlembagaan hidup manusia, sama ada yang Muslim atau bukan muslim, yang harus kita jadikan panduan dalam menjalani kehidupan seharian. Dengan kata lain, al-Quran itu adalah syariat, yang di dalamnya mengandungi segala arahan, saranan dan larangan yang diturunkan (diwahyukan) sejak dahulu sehingga Rasulullah saw wafat. Hal ini disebut oleh ayat 18 surah al-Jatsiyah.

Sembahyang adalah cahaya petunjuk
Perintah-perintah dan larangan-larangan yang terkandung dalam al-Quran itulah yang menjadi cahaya petunjuk kepada manusia. Ayat-ayat itu menggariskan caranya yang betul menjalani kehidupan seharian kita. Inilah jalan yang lurus yang kita pohon melalui bacaan ayat 6 surah al-Fatihah. Manakala ayat-ayat larangan-Nya adalah peringatan kepada mereka yang mengikut jalan kesesatan yang kita ucapkan dalam ayat 7 surah yang sama.
Justeru siapa sahaja yang mendirikan sembahyang harus mempunyai kefahaman ini, iaitu kefahaman tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan (dosa dan pahala), tentang adab dan keperibadian dalam pergaulan dan sebagainya. Kefahaman inilah yang menjadi cahaya petunjuk jalan hidup kita.
Tetapi bagi orang-orang yang tidak mengerti apakah maksud ayat-ayat ini, tidak akan mendapat iktibar dan pengajarannya. Jadi sembahyangnya tidak menjadi cahaya petunjuk. Yang ditakuti ialah apabila orang yang sebegini diibaratkan sebagai mempersendakan ayat-ayat Allah swt sahaja. Betapa tidak, ketika mendirikan sembah-yang menghadap Allah, dalam keadaan seolah-olah Allah berada di hadapan kita, kita membaca ayat 6 surah al-Fatihah yang maksudnya, ‘Tunjukkilah kami jalan yang lurus’, tetapi setelah selesai sembahyang kita sengaja mencari jalan yang lain. Bukankah tindakan ini tidak ubah seperti mempermainkan kalimah Allah ayat 6 itu.
Ayat 6 dan 7 surah al-Fatihah itu adalah intipati kepada ayat-ayat perintah dan larangan yang terkandung dalam al-Quran. Dengan kata lain ayat-ayat perintah dan larangan yang begitu banyak yang terkandung al-Quran itu adalah lanjutan atau penjelasan kepada dua ayat ini. Hal disebut juga dalam buku Islam the Natural Way.
Inilah sebabnya mengapa surah al-Fatihah itu disebut sebagai umul-kitab, atau intipati al-Quran. Perincian kepada ayat 6 dan 7 itu terkandung dalam ayat-ayat al-Quran yang begitu banyaknya. Di sanalah terdapatnya mesej-mesej yang dimaksudkan oleh kedua-dua ayat ini. Inilah yang menjadi sumber bagi membentuk sikap kita dalam menjalani hidup seharian. Kita harus mencarinya dan menterjemahkannya sebagai etika hidup kita. Jadi inilah yang menjadi cahaya petunjuk jalan, seperti yang tersebut dalam hadis sebelum ini. Inilah juga yang akan mencegah kita dari perbuatan keji dan mungkar yang disebut dalam ayat 45 surah al-Ankabut itu.

Realiti ayat 45 surah al-Ankabut
Ayat 45 surah al-Ankabut menyebut, ‘Dan dirikanlah sembahyang. Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar.
Bagaimanakah caranya hendak merealisasikan ayat di atas ini, apakah bukti sahih yang dapat dilihat dalam kehidupan seharian? Hanya orang yang mempunyai tanggapan dan sikap bahawa ibadah sembahyang kita ada matlamat dan tujuannya sahaja yang dapat merealisasikannya.
Matlamat dan tujuan ibadah sembahyang boleh dilihat melalui qias, iaitu satu daripada kaedah syariat. Kita akan ketemui penjelasan-nya kemudian. Qias adalah kaedah menggunakan sesuatu hukum fiqh untuk memutuskan hukum kepada sesuatu yang baru yang tidak pernah disebut dalam fiqh. Misalnya apakah hukumnya mematuhi peraturan parker, apakah hukumnya berborak dalam restoran sehingga ketawa berdekah-dekah. Kaedah qias adalah satu-satunya jalan yang dapat memberi jawapannya.
Hal-hal seperti ini tidak pernah disebut dalam kitab-kitab fiqh, namun tidak bererti ianya bukan sebahagian daripada jalan hidup Islam. Hal-hal seperti ini tetap tertakluk kepada peraturan jalan hidup Islam.
Dengan qias, peraturan parker itu tadi adalah berkait dengan satu hukum dalam sembahyang yang menyebut, Makruh sembahyang di laluan, manakala bagi yang berborak itu pula berkait dengan hukum larangan menjahar (membaca kuat) ketika menjadi makmum.
Misalnya, apakah iktibar dan pengajaran yang boleh kita bina dari hukum yang menyebut, ‘Siapa yang makan buah ini, yakni bawang putih, janganlah datang ke masjid.hadis ini adalah berkait dengan ibadah sembah-yang. Hadis-hadis tersebut melarang orang yang baru lepas makan bawang mentah atau kucai, dari pergi ke masjid. Rasulullah saw melarang keras perbuatan tersebut.
Hukum ini mengajar kita erti membuat gangguan, di sini ialah gangguan bau. Jadi dalam menjalani kehidupan berjemaah bersama kawan kita harus berhati-hati agar jangan sampai membuat gangguan kepada rakan, sahabat atau orang lain, dengan bau badan atau pakaian yang tidak menyenangkan. Dalam hal hidup berjiran, juga begitu, iaitu jangan membuat gangguan, di sini ialah gangguan bau walau apapun puncanya.
Membuat gangguan terhadap jiran adalah satu kemungkaran kerana jelas ini adalah perbuatan yang tidak disenangi. Jadi kita lihat di sini, hukum-hukum dalam bab sembahyang kita guankan sebagai asas membina hukum. Kaedahnya ialah qias.
Syaratnya kita harus berilmu dan bersikap terbuka. Kita mempunyai ilmu tentang hukum-hakam bab sembahyang, dan sikap kita terbuka untuk mempraktikkan ilmu yang diperolehinya. Jangan mendirikan sembahyang secara ikut-ikutan, atau bergantung kepada pelajaran yang kita dapat ketika di bangku sekolah rendah dahulu. Kerana harus diingat pengajaran guru ketika itu adalah setakat pengajaran cara mendirikan sembahyang semata-mata. Objektif pengajaran guru ketika itu adalah kemahiran mendirikan sembahyang. Itu sahaja. Jadi jangan pula kita mengambil sikap berpuas hati dengan apa yang sudah kita perolehi itu. Carilah ilmu. Itu sebabnya sembahyang ikut-ikutan ditolak kerana dia tidak mengetahui makna ayat yang dibacanya. Maka orang yang sebegini tidak mendapat cahaya petunjuk yang menjadi penyuluh jalan hidupnya, sekali gus dikira sebagai orang yang tidak mendirikan sembahyangnya.
Jadi dapatlah kita membuat satu kesimpulan umum bahawa untuk memelihara sembahyang, harus menjadikan ibadah sembahyang kita sebagai penyuluh jalan hidup. Seluruh perjalanan hidup kita sebahagiannya harus berpandukan kepada etika dan peraturan yang terbina dari sembahyang kita. Jadi sembahyang yang tidak dapat menjadi petunjuk jalan hidup mungkin ditolak.
Justeru, di manakah letaknya ibadah sembahyang dalam program hidup kita. Kita tahu ideologi hidup Islam mencakupi ketuhanan dan keduniaan; bagaimanapun, harus dijaga supaya tidak memberatkan kepada ketuhanan dan meremehkan yang keduniaan, atau sebaliknya; tidak juga membatasi ruang lingkup kedua-duanya. Dapatkanlah buku ini. Di sana ada penjelasannya.
Buku ini adalah satu usaha untuk memperbetulkan konsep ibadah sembahyang kerana fenomena menunjukkan bahawa ibadah ini telah disalah tanggap sebagai ibadah untuk ketuhanan semata-mata.


(Pandangan mantan Pengarah tentang buku ini):
BismillahirRahmanirRahim,
Jarang kedapatan buku agama yang ditulis dalam bentuk analisis seperti yang ditulis oleh Encik Mohamad bin Lamin. Kebiasaannya buku-buku atau kitab agama ditulis dalam bentuk nas dan hujjah-hujjah syar’ie, bermula dengan dalil-dalil naqli dan aqli. Berbeza dengan buku ini, penulis cuba mengupas isu solat dalam bentuk semangat dan ruh ibadat itu sendiri. Sememangnya begitulah manifestasi daripada solat sebenarnya sepertimana yang disebutkan oleh Allah, bahawa solat itu mencegah daripada perbuatan Fahsya’ dan Mungkar.
Tahniah saya kepada penulis yang berani mengupas isu solat ini dalam bentuk yang sedemikian rupa sehingga dapat membawa para pembaca melihat solat dalam satu dimensi baru yang menarik. Amat sesuai dibaca oleh para remaja dan tidak kurang juga kepada mereka yang telah lama melaksanakan ibadah solat sebagai muhasabah diri. Melihat ke dalam samada solat yang dilaksanakan benar-benar membina watak pendirinya sebagai perisai ampuh membentengi diri daripada terjerumus ke lembah maksiat ataupun solat yang dilaksanakan sekadar budaya atau ikutan yang tidak memberi kesan apa-apa kepada pendiri solat berkenaan.
Selamat membaca.
(Mantan) Pengarah,
Bahagian Pendidikan Islam,
Kementerian Pendidikan Malaysia)

Bibliografi:
2007. Al-Quran dan Terjemahannya. Kuala Lumpur: Percetakan Zafar Sdn. Bhd.
Abul A’la al-Mauddudi, 1983. Pokok Pandangan Hidup Islam, Singapura: Pustaka Nasional Pte. Ltd.
Abdullah bin Muhammad Dr. pt. 2011. Tafsir Ibnu Katsir Jilid 1, Pustaka Imam asy-Syafi’I, Jakarta.
Abdul Wahid Hamid, 1989. Islam the Natural Way, London NW4: MELS.
Afzalur Rahman, 1996. Indeks al-Quran. Kuala Lumpur: A.S. Noordeen.
Al-Syahid Sayyid Qutb, Abul A’la Al-Maududi, 2009. Manhaj Hidup Muslim. Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, Selangor.
Dr. H Hamzah Ya’kub, 1980. Tingkat Ketenangan dan Kebahagiaan Mu’min.  Singapura: Pustaka Nasional Pte. Ltd.
Dr. Sa’id bin Wahf al-Qahthani, 2003. Ensiklipedia Shalat Menurut al-Quran dan Sunnah. Saudi Arabia: Pustaka Imam Asy-Syafi’I, Muassasah al-Jarisilil Tauziwal I’laam.
Dr. Zakir Naik, 2013. Most Common Questions Asked By Non Muslims. Dakwah Corner Publications Sdn. Bhd.
Endang Saifuddin Anshari, 1982. Sains Falsafah dan Agama. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Lutpi Mustafa el-Batnani, 2009. Pengajian Untuk Bukan Islam. Johor Bahru, Johor: Perniagaan Jahabersa.
Mohamad Lamin, 2012. Ke Arah Haji Yang Mabrur. Kuala Lumpur, Telaga Biru Sdn. Bhd.
Muhammad Nur Ibrahim dll, 2000. Mastika Hadis Rasulullah sawJilid 1. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri.
Mu’ammal Hamidy, 1978. Halal dan Haram Dalam Pandangan Islam. Jakarta: PT Bina Ilmu.
Muhammad Arshad bin Abdullah, t.t. Sabilal-muhtadin. Patani, Thailand: Mutba’ah bin Halbi.
Nawab Muhammad Yamin Khan, 1982. Allah, Ruhdan Alam Menurut Sains dan Islam. Kota Bharu: Pustaka Aman Press Bhd.
Nashiruddin al-Albani, 2004. Silsilah Hadits Shahih 1. Riyadh: Maktabah al-Ma’arif.
Prof. Dato’ Dr. Haron Din (Panel Penulis), 2003. Manusia dan Islam. t.p.
Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi, 2009.Fiqh Keutamaan. Kuala Lumpur: Blue-T Publication Sdn. Bhd.
Sa’id Hawwa, 2009. Jundullah Jihad Fi Sabilillah (Jihad Pada Jalan Allah). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sidang Editor, 2007. Kamus Dewan Edisi Keempat, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Syekh Muhammad Yusuf el-Qaradhawi, 1978. Halal dan Haram Dalam Pandangan Islam. Surabaya, Indonesia: P.T. Bina Ilmu.

 

No comments:

Post a Comment