Salahlaku Dalam Sembahyang

Ramai dari kalangan kita mendirikan sembahyang tidak mengikut cara Rasulullah saw, walhal baginda sudah berpesan yang maksudnya, sembahyanglah sebagaimana engkau melihatku sembahyang. Bagaimanakah caranya Rasulullah saw sembahyang, sedangkan kita tidak pernah berjumpa dengan baginda?
Cara Rasulullah saw sembahyang juga digambarkan dengan hadis-haids, misalnya, dari Salim ra, dari bapanya, katanya,
‘Aku melihat Rasulullah saw ketika beliau memulai sembahyang, diangkatnya kedua tangannya hingga setentang dengan kedua bahunya.’ (Terjemahan Hadis Shahih Muslim: 342)
Hadis ini menggambarkan caranya Rasulullah saw mengangkat tangan ketika takbiratul-ihram. Inilah antara caranya yang disebut di atas tadi, sembahyanglah sebagaimana engkau melihatku sembahyang itu.
Selain daripada itu, ialah dalam bentuk suruhan dan larangan baginda Rasulullah saw, yang juga tercatat dalam bentuk hadis,  misalnya, sebuah hadis dari Imran bin Hussain ra, katanya,
‘Pada suatu kali Rasulullah saw mengimami kami sembahyang Zuhur atau Asar; setelah selesai sembahyang beliau bersabda, ‘Siapakah tadi di belakangku yang menjaharkan bacaan Sabbihisma rabbikal a’la’, jawab seorang sahabat, ‘Aku, maksudku hanya semata-mata untuk kebaikan’; sabda Rasulullah saw, ‘Aku tahu maksudmu baik, tetapi kamu mengganggu orang lain’’ Terjemahan Hadis Shahih Muslim: 353)
Hadis ini pula menggambarkan satu larangan kepada orang yang sedang sembahyang berjemaah, iaitu jangan menjahar (membaca kuat); larangan ini juga menggambarkan cara kita mendirikan sembahyang, yang dikehendaki oleh baginda.
Begitulah antara contoh-contoh caranya mendirikan sembahyang yang dikehendaki oleh baginda Rasulullah saw. Justeru sesiapa yang tidak mengikut prosedur ini dikatakan sebagai salah laku?
Dari Aisyah ra, katanya, pada suatu ketika Rasulullah saw sakit, kerana itu para sahabat berdatangan menjenguk beliau; beliau sembahyang sambil duduk, dan para sahabat sembahyang mengikut beliau sambil berdiri, lalu Rasulullah memberi isyarat supaya mereka duduk, maka duduklah mereka semuanya. Setelah selesai sembahyang, beliau bersabda,
‘Sesungguhnya imam itu dijadikan untuk diikuti; apabila imam itu rukuk, rukuk pulalah kamu sekalian, apabila imam itu bangkit, bangkit pulalah kamu, dan apabila imam itu sembahyang sambil duduk, maka duduk pulalah kamu semuanya.’ (Terjemahan Hadis Shahih Muslim: 365)
Hadis yang serupa maksudnya diriwayatkan juga oleh Anas bin Malik ra, Jabir ra, Abu Hurairah ra, dan Ya’la ibnu Atha seperti yang tercatat dalam kitab hadis Terjemahan Hadis Shahih Muslim.
Hadis-hadis di atas ini tadi merupakan perintah dan larangan, dengan kata lain, disebut secara lisan.
Terdapat juga hadis-hadis yang jelas melarang orang sembahyang melihat ke atas, umpamanya yang diriwayatkan oleh Jabir bin Samurah ra, katanya Rasulullah saw bersabda,
‘Hendaklah orang-orang itu berhenti memandang ke langit ketika sembahyang, ataukah mereka akan dibutakan Allah?’ (Terjemahan Hadis Shahih Muslim: 381)
Hadis yang serupa maksudnya diriwayatkan juga oleh Abu Hurairah ra.
Abu Mas’ud al-Ansari ra pernah meriwayatkan tentang seorang lelaki yang datang kepada Rasulullah saw, lalu berkata, ‘Aku sengaja lambat datang sembahyang Subuh, kerana si Pulan suka memanjangkan sembahyang ketika mengimami kami’. Kata Mas’ud lagi, belum pernah ku lihat Nabi saw marah ketika memberikan pengajian seperti beliau marah ketika itu, yang bersabda,
‘Hai manusia! Antara kamu sekalian ada yang bertindak menjadi imam menyebabkan orang benci kepada agama ini; kerana itu siapa sahaja antara kamu yang menjadi imam, hendaklah dia memendekkan bacaan sembahyang, kerana di belakangnya ada orang tua, ada orang yang lemah, dan ada pula yang sedang mempunyai keperluan.’ (Terjemahan Hadis Shahih Muslim: 421)
Banyak lagi hadis-hadis yang berkaitan dengan prosedur mendirikan sembahyang, yang menggambarkan bagaimana Nabi saw mendirikannya; hadis-hadis di atas ini tadi adalah antaranya. Persoalannya ialah apakah kita mengamalkan kaedah yang baginda lakukan setiap kali mendirikan sembahyang; jika tidak, kaedah manakah yang kita ikuti?
Tidak dinafikan terdapat sesetengah hadis yang memerlukan penjelasan atau perincian kaedah melaksanakannya, misalnya apakah dia ukuran jahar (kuat) yang disebut oleh hadis di atas tadi! Di sinilah letaknya peranan ulamak fiqh menjelaskannya, misalnya, berkait dengan menjahar itu tadi disebut dalam sebuah kitab lama iaitu kitab Sabilul-muhtadin, yang menyebut,
‘Adapun had nyaring maka iaitu bahawasanya mendengar akan bacanya orang yang di sisinya.’ yang bermaksud bahawa bacaan yang boleh didengar oleh ahli jemaah di kiri kanan kita.
Walaupun hadis ini melarang, namun tidak pula disebut haram; tetapi ada pandangan sesetengah ulama yang mengatakan hukumnya haram, atas sebab mengganggu sembahyang orang lain; kerana itu kita tidak boleh menolak pandangan-pandangan mereka.
Walaupun hadis-hadis di atas tadi hanya berkaitan hukum-hukum yang makruh dan sunat, bukan haram, tetapi jelas itulah dia Sunnah Rasulullah saw dalam ibadah sembahyang. Jadi, apakah kerana kita melihatnya hanya sunat atau makruh maka tidak perlu mengamalkannya lantaran melakukan atau meninggalkannya pun tidak akan membatalkan sembahyang!
Jika kita melihat dari sudut ganjaran pahala, mengikut atau meninggalkan perkara sunat atau yang makruh, tidak akan menjadi isu yang besar, namun jika dilihat dari satu sudut lain, misalnya bahawa kita tidak mengikut sunnah Rasulullah saw, situasinya menjadi sebaliknya, kerana telah diperingatkan, sembahyanglah sebagaimana aku sembahyang; tidak akur bererti bertentangan dengan satu hadis lain yang menyebut, maksudnya, Barangsiapa yang tidak mengikut Sunnahku, dia bukanlah umatku. Jadi, mengikut hadis terakhir ini perkara sunat dan makruh itu sudah menjadi suatu isu besar pula; kita tidak akan diterima sebagai umat baginda saw. Justeru, seseorang yang mengaku dirinya cinta Rasulullah saw, sewajarnya mengikuti sunnah baginda walaupun dari kaedah mendirikan sembahyang sahaja.
Ebook ini melihat persoalan-persoalan sunat dan makruh dalam ibadah sembahyang sebagai aspek yang harus diberi tempat sewajarnya, tidak boleh ditinggalkan, kerana di sinilah letaknya konsep ibadah sembahyang kita: adakah ibadah sembahyang yang kita tunaikan itu untuk mencari keredaan Allah, atau kita tunaikan kerana Allah memerintahkannya. Jauh perbezaan antara kedua-dua tanggapan itu - yang mencari keredaan Allah akan mendirikan sembahyang dengan penuh tertib, mengikuti prosedur bagaimana Rasulullah saw mendirikannya, dijaga setiap aspek walaupun yang kecil-kecil seperti soal-soal sunat-makruh itu tadi, manakala yang satu lagi mendirikan sembahyang sekadar sah sahaja.
Dari satu sudut lain pula yang dapat dilihat ialah bahawa dalam hukum sunat dan makruh itulah letaknya roh ibadah sembahyang kita, yang akan merealisasikan ayat 45 surah al-Ankabut, yang maksudnya, ‘Dirikanlah sembahyang; sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar.’ Misalnya, ada hukum dalam bab sembahyang menyebut, Makruh sembahyang di laluan, bukanlah sekadar hukum yang memandu kita agar jangan sembahyang di muka pintu, di kakilima bangunan, dan sebagainya sehingga menyusahkan orang yang hendak lalu sahaja, tetapi mengajar kita erti membuat halangan. Membuat halangan adalah satu bentuk kemungkaran, yang mengikut ayat itu tadi, boleh dicegah dengan mengambil iktibar dari ibadah sembahyang, yang terselindung di sebalik hukum makruh.
Pendek kata, hukum sunat dan makruh itu membawa implikasi yang sangat besar, jika tidak diikuti, lebih-lebih lagi jika kita sengaja tidak mahu mengikutinya bererti kita sudah menidakkan matlamat ayat 45 itu tadi. Tambahan lagi, Abul A’la al-Maududi (1903-1979, tokoh kebangkitan Islam, ahli fikir dan falsafah tersohor) pernah berkata dalam bukunya, yang maksudnya, berdosa adalah dirujuk kepada seseorang yang melanggar hukum atas sebab tidak mengetahuinya atau terlalai, manakala seseorang dengan sengaja melanggar sesuatu hukum yang diketahuinya adalah orang yang sengaja menunjukkan sikap berontak terhadap syariat, orang yang sebegini boleh dikira sebagai orang yang sengaja hendak melepaskan dirinya dari ikatan Islamiyah. Justeru, jadikanlah kesilapan-kesilapan kita sebagai sempadan untuk melangkah ke jalan taubat, dan bertekad untuk tidak mengulanginya lagi setelah kita mengetahuinya.
Dapatkan ebook Salahlaku Dalam Sembahyang
Hubungi 013-3377242 / 019-2248404

No comments:

Post a Comment