Ke Arah Haji Yang Mabrur

Kata Penerbit:
Menunaikan ibadah haji ibarat kemuncak ibadah kepada Islamnya seseorang yang sekian lama bergelar Muslim. Seusai ibadah haji berjaya dilaksanakan, maka individu Muslim itu dianggap telah memenuhi setiap rukun Islam yang lima. Namun, adakah ibadah haji dilakukan hanya sekadar untuk memenuhi tanggungjawab atau melaksanakan ibadah haji untuk menghayati intipati yang ada dalam tanggungjawab itu? Justeru, seringkali kita lihat ramai yang berjaya menjadi dhuyuf ar-Rahman di Tanah Suci, namun masih belum suci akhlak dan kehidupannya daripada kotoran sifat keji dan najis maksiat.
Sebenarnya, ibadah haji membersihkan hamba daripada segala dosa dan noda serta mentransformasikan hamba kepada kualiti kehidupan sebagai Muslim yang lebih baik. Inilah yang dikatakan sebagai haji yang mabrur di sisi Allah swt. Imam an-Nawawi dalam Syarah Shahih Muslim menyatakan, 'Antara tanda haji yang mabrur adalah seseorang pulang dalam keadaan lebih baik daripada sebelumnya serta tidak mengulangi perbuatan maksiat'. Dapat kita fahami bahawa ibadah haji yang mabrur akan memberikan kesan kepada pelakunya. Betapa bertuahnya bagi sesiapa yang berjaya memperoleh haji yang mabrur. Rasulullah saw pernah memberikan berita gembira dan jaminan hebat dengan sabda Baginda,
'Haji yang mabrur, tiada balasan setimpal baginya melainkan syurga'.
Justeru, para jemaah haji seharusnya bukan hanya memikirkan soal sah haji ketika menunaikan ibadah haji sahaja, bahkan perlu juga sedaya upaya menjernihkan hati dan memurnikan perbuatan sebelum, ketika dan selepas menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.
Selain itu, syariat ibadah haji juga merupakan salah satu daripada proses memantapkan ketakwaan seseorang hamba. Perkara ini jelas melalui ayat-ayat perintah perlaksanaan haji. Antaranya yang disebut dalam surah al-Baqarah, yang maksudnya,
'Sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat haji dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana susungguhnya sebaik-baik bekal itu adalah memelihara diri (daripada keaiban meminta sedekah) dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal'. (al-Baqarah, 2: 197)
Memperoleh takwa tidak semudah yang dilafazkan. Pesanan takwa yang sering diulang-ulang dalam ayat al-Quran begitu penting untuk kejayaan umat Islam di dunia dan akhirat. Hanya orang yang dicelikkan mata hatinya dengan taufik dan hidayah sahaja akan memburu takwa. Hati orang yang bertakwa akan dipenuhi rasa malu, cinta, takut, kagum, penuh pengharapan dan hina dengan Allah swt. Semuanya ini akan diperoleh melalui pengembaraan menunaikan ibadah haji yang dipenuhi dengan pelbagai hikmah yang tersirat.
Justeru, pihak Telaga Biru Sdn Bhd mengambil inisiatif dengan menerbitkan buku Ke Arah Haji Yang Mabrur yang telah disusun oleh Haji Mohamad bin Lamin. Buku ini amat wajar dimiliki oleh setiap individu yang berusaha keras untuk memburu haji yang mabrur. Hal ini kerana buku ini:

  • Menjelaskan tatacara dan kaedah ibadah haji yang mabrur secara santai dan mudah
  • Meneroka hikmah yang tersirat dalam setiap perlakuan ibadah haji
  • Menyuntik motivasi dan semangat beribadah secara maksimum

Pihak Telaga Biru Sdn Bhd mengharapkan semoga buku ini membawa sebanyak mungkin manfaat kepada masyarakat. Sampaikanlah kebaikan daripada buku ini kepada setiap individu agar setiap daripada kita mendapat ganjaran yang besar daripada Allah swt.

No comments:

Post a Comment