Fotografi

Dalam fotografi, viewfinder (vf) adalah segala-galanya. Apa jua kamera yang kita gunakan, kebijaksanaan menggunakan vf adalah kunci kejayaan menghasil gambar foto yang baik dan menarik.
Menerusi vf, akan kelihatan betapa banyaknya benda-benda yang kelihatan, yang perlu diambil perhatian. Jika tidak dikendali dengan teliti, mungkin akan terjadi, umpamanya sebatang tiang seakan-akan terpacak di kepala rakan kita, atau sedar-sedar kita rasa ada sesuatu yang tidak sepatutnya terakam dalam gambar. Paling tidak menyenangkan ialah apabila gambar-gambar yang kita ambil itu kurang menarik sepertimana yang kita bayangkan. Persoalan ini adalah berkaitan dengan komposisi.
Berbeza dengan seorang pelukis, mereka bebas untuk meletakkan elemen-elemen dalam lukisannya mengikut kemahuannya. Ia tidak akan meletakkan sebarang elemen yang tidak dikehendakinya ke dalam lukisannya, tetapi seorang jurufoto terpaksa akur sahaja dengan kehadiran elemen-elemen yang terlihat menerusi vf kamera. Bagaimana caranya mengelakkannya jika boleh, dan jika tidak bagaimanakah pula caranya meletakkannya dalam komposisi gambar. Jadi, pengetahuan tentang komposisi gambar adalah suatu yang sangat penting dalam fotografi, bagi menghasilkan gambarfoto yang menarik dan berjaya memukau pemerhati untuk menatapnya lebih lama.
Sesebuah kamera boleh dibeli dengan harga beberapa puluh RM sahaja, setelah dipasang bateri boleh digunakan untuk mengambil gambar, begitu juga kamera yang tersedia dalam sesebuah telefon bimbit; dalam keadaan pencahayaan yang suram, lampu kilas digunakan.
Biasa juga terjadi yang membuat kita terkejut terpinga-pinga mengapa gambar rakan yang kita ambil di pantai jadi gelap walhal cahaya cukup terang ketika itu! Setelah bertanya di sana sini, baru sedar kamera kita tidak dilengkapi dengan butang kawalan AEL yang menjadi puncanya, atau jika ada sekalipun, tidak tahu fungsinya. (Jika anda menggunakan kamera di telefon bimbit inilah yang akan terjadi). Jadi pengetahuan tentang jenis-jenis kamera dan bahagian-bahagiannya adalah perlu, sebaik-baiknya sebelum membeli. Tidak berbaloi juga sekiranya membeli sebuah kamera yang ribuan RM tetapi tidak dapat menggunakan sepenuhnya fungsi-fungsi yang ada.

Banyak lagi aspek-aspek lain yang perlu dipelajari bagi menghasilkan gambarfoto yang cantik dan menarik. Pengetahuan mengenai pencahayaan akan meluaskan lagi dunia fotografi anda. Pemahaman yang diikuti dengan usaha-usaha gigih, akan dapat mengembangkan minat dan bakat yang sedia ada ke suatu tahap yang lebih tinggi dan dikagumi rakan-rakan.

No comments:

Post a Comment