Berita Karisma

Abul A'la al-Maududi

Abul A'la al-Maududi pernah menulis, katanya,
Apabila kita melakukan sesuatu yang tidak diketahui kesalahannya, kita akan dikira berdosa, tetapi apabila melakukan sesuatu yang diketahui kesalahannya kita akan dikira sebagai bersikap berontak, sengaja mencari jalan untuk menjauh diri dari syariat Islamiyah.
Mengikut kontek ini, kita tidak boleh mengatakan tidak tahu apabila melakukan sesuatu kesalahan syariat, maka tetap dosa, kerana Islam mengajar kita agar sentiasa belajar, dalam ertikata sentiasa menuntut ilmu. Bolehlah dibandingkan umpamanya kita melanggar peraturan lalu lintas, lalu memberi alasan tidak tahu, bagi mengelakkan dari diambil tindakan! Kecuali bagi orang jahil, iaitu orang yang baru masuk Islam, tidak berdosa atas alasan ini, mengikut kitab Sabilul-muhtadin.
Seseorang yang mengaku dirinya Islam, wajib menuntut ilmu. Kewajiban ini bertujuan supaya tidak ada lagi yang mengaku dirinya tidak tahu. Wajib bererti mesti dilakukan, maka akan terjaminlah dirinya dari beban tidak tahu. terutama ilmu syariat. kita harus mengikuti jalan hidup Islam, yang disebut sebagai syariat, dan , maka dengan rela hati juga harus mengikut jalan hidup yang disebut syariat itu; tidak ada bezanya syariat antara dua golongan ini, kedua-duanya harus menyesuaikan diri dengan undang-undang tersebut agar dirinya secara individu dilihat sebagai seorang hamba Allah. Adalah tidak wajar sekiranya mencari jalan lain selain yang telah ditentukan, tidak kira dalam keadaan apa sekalipun, dalam perkara apa sekalipun.
Antara moto syariat Islam ialah amar maaruf nahi mungkar: yang maaruf itu adalah sifat-sifat baik, manakala yang mungkar itu ialah kejahatan-kejahatan, tetapi dari sudut pandangan Islam, bukan mengikut pertimbangan manusia.
Hukum Allah swt hanya ada dua iaitu perintah mentaati segala suruhan-Nya, dan meninggalkan larangan-Nya; namun Islam tidak pula menetapkan batasan hanya kepada dua ini sahaja iaitu sama ada maaruf atau mungkar, sebaliknya memberikan ruang untuk menghadapi sebarang perubahan yang akan berlaku, dengan membahagikan pula yang makruf kepada tiga iaitu yang wajib, sunat dan harus, manakala yang mungkar itu ada yang haram dan makruh. Hukum-hukum yang lima ini memperlihatkan fleksibiliti Islam agar ada ruang diberikan kepada perkembangan-perkembangan yang mendatang, agar Islam dipandang sebagai jalan hidup yang sentiasa sesuai untuk semua zaman.
Justeru, setelah mengetahui yang mana maaruf dan yang mana mungkar, seseorang harus sentiasa berhati-hati dalam segala tindak tanduknya. Apabila mengetahui sesuatu itu mungkar, tetapi dilakukan juga maka seperti yang dikatakan oleh Abul A'la itu tadi, adalah tanda sikap yang berontak, atau sengaja lari dari jalan Islam (kufur). Wallahu a'lam.

Kata Dr Yusuf al-Qaradhawi, Kefahaman terbaik kepada beban kewajipan yang diberikan ialah memahami tujuannya, yang bermaksud beban-beban kewajipan kita ada tujuan atau matlamatnya. Dengan maksud lain, ibadah-ibadah kita yang empat itu bukan setakat ibadah yang ditunaikan untuk menunaikan tuntutan Rukun Islam semata-mata, tetapi ada matlamat yang lain yang mesti dicapai. Apakah matlamat sembahyang kita, zakat, puasa dan haji kita?
Sumber rujukan kita ialah al-Quran, jadi carilah ayat-ayat yang berkenaan sesuatu ibadah itu tadi, fahami maknanya, cuba cari maksudnya. Kemudian baca pula hadis-hadis yang berkaitan.
Satu ayat yang paling popular mengenai sembahyang ialah ayat 45 surah al-Ankabut; takrifnya sudah jelas, dan itulah matlamat sembahyang kita.

No comments:

Post a Comment