Monday, October 7, 2013

eBook Salahlaku Dalam Sembahyang

eBook ini dipadankan dengan kitab Sabilal-muhtadin. Kitab ini saya pilih sebagai rujukan kerana pendekatan penulisannya, penjelasan tentang hukum-hakamnya disertakan pula dengan tujuannya, bukan setakat hukum tinggal hukum untuk panduan mendirikan sembahyang sahaja. Misalnya, hukum lafaz takbir intiqalat itu disebutkan bukan setakat hukumnya sunat, malah disebut tujuannya iaitu supaya tidak sunyi satu suku dari sembahyangnya, yang bermaksud supaya jangan ada antara waktu-waktu dalam sembahyang kita itu sunyi tanpa membaca sesuatu, kerana itu disunatkan melafazkan allahu akbar.
Penjelasan tentang pergerakan-pergerakan dalam sembahyang juga cukup jelas, sehingga dilihat ianya sebagai prosedur bagaimana melakukannya; misalnya bagi lafaz takbir intiqalat itu tadi, caranya ialah Dan sunat memulai takbir intiqal itu pada permulaan tunduknya kepada rukuk atau sujud atau permulaan bangkitnya daripada tasyhud awal; ini dilihat sebagai prosedur melafazkan allahu akbar itu tadi; bagi sujud pula dijelaskan sembilan syarat sah sujud – syarat ini juga dilihat sebagai prosedur.

RM20 Sila hubungi melalui Contact
Mungkin ada antara kita melihat ini adalah perkara-perkara remeh temeh, yang hukumnya pun hanya sunat, tidak membatalkan sembahyang jika tidak diikuti. Pandangan ini tidak salah, tetapi jika dilihat bahawa hukum ini ada pengajarannya, maka meninggalkannya bererti kita sudah membuang sebahagian daripada pengajaran sembahyang, sekali gus kita seperti sengaja membuang sebahagian daripada matlamat syariat. Pendek kata, salah laku yang akan kita temui dalam ebook ini kelak, kebanyakannya adalah berkaitan yang sunat dan makruh; jika kita orang yang suka mengumpul pahala maka mengikutinya adalah antara caranya menambah pahala; namun sebahagiannya adalah berkait dengan dosa, misalnya melintas di hadapan orang yang sedang sembahyang adalah haram, membaca kuat dalam sembahyang juga haram, dan sebagainya; dan sebahagian lagi adalah berkaitan dengan hukum yang menentukan sembahyang kita sah atau batal.
Tidak dinafikan, akan ada sebahagian daripada kita mungkin kurang setuju dengan hukum-hukum tertentu disebabkan tidak pernah mendengarnya, namun apakah kerana kita tidak pernah mendengarnya maka boleh dianggap ianya sebagai suatu yang diada-adakan! Saya katakan demikian kerana sesuatu yang belum pernah kita dengar bukan bererti perkara itu tidak ujud, tetapi kerana kita belum menjumpainya.
Semoga ebook ini akan memberi manfaat, mempertingkatkan ibadah kita, melakukan anjakan dari keadaan sedia ada kepada suatu keadaan yang lebih baik lagi. Yang lebih penting lagi ialah di bahagian akhirnya, di mana saya cuba menurunkan beberapa contoh iktibar dan pengajaran yang lahir dari ibadah sembahyang, yang merealisasikan maksud ayat 45 surah al-Ankabut yang bermaksud Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar.

No comments:

Post a Comment